Pakaian Tradisional Suku_Bidayuh

Warna hitam adalah warna utama dalam pemakaian masyarakat Bidayuh. Bagi Kaum wanita masyarakat Bidayuh, pakaian lengkap adalah termasuk baju berlengan pendek atau separuh lengan dan sepasang kain sarung berwarna hitam paras lutut yang dihiasi dengan manik manik halus pelbagai warna disulami dengan kombinasi warna utama iaitu putih, kuning dan merah. Tudung kecil separuh tinggi dengan corak anyaman yang indah atau penutup kepala daripada kain berwarna warni dengan sulaman manik halus adalah pelengkap hiasan kepala wanita masyarakat Bidayuh. Kaum lelaki masyarakat Bidayuh pula lazimnya mengenakan sepasang persalinan berbentuk baju hitam separa lengan atau berlengan pendek dengan sedikit corak berunsur flora dan seluar hitam atau cawat yang berwarna asas seperti biru, merah dan putih. Kain lilit kepala pula adalah pelengkap hiasan kepala kaum lelaki masyarakat ini.Bagi masyarakat Bidayuh, muzik memainkan peranan yang penting dalam setiap upacara keagamaan yang mereka jalankan. Muzik ini berperanan menaikkan semangat, mengusir roh jahat dan sebagai pententeram kepada semangat roh. Muzik juga memainkan peranan dalam pemberitahuan motif sesuatu upacara yang dijalankan. Umumnya muzik tradisional masyarakat Bidayuh terdiri daripada sepasang gong besar terbahagi daripada dua iaitu Oguong dan Kitaak, canang, Gendang atau Pedabat dan Tawak (sejenis gong kecil). Terdapat juga alat muzik tradisional yang lain seperti serunai/seruling dan gitar buluh. Namun alat muzik seumpama ini amat kurang dimainkan kerana proses pembuatannya yang agak rumit.